Pages

Pages

Sunday, May 22, 2011

Fulan bin Fulan

Siapakah Fulan bin Fulan? Kita selalu mendengar orang agama menyebutnya.

Sebenarnya perkataan Fulan bin Fulan bukanlah nama seseorang. Tetapi ia adalah perkataan pengganti bagi nama yang tidak diketahui nama sebenarnya atau untuk orang yang tidak mahu disebut namanya.

Contohnya: Fulan anak si fulan semalam dimasukkan ke hospital.
Ia asalnya adalah perkataan Arab. Dalam Bahasa Melayu pula kita menyebutnya 'polan' (rujuk Kamus Dewan 2000). Keterangannya adalah sebutan kpd orang yang tidak diketahui namanya.

Dalam Bahasa Arab, perkataan ini sering digunakan. Tetapi dalam Bahasa Melayu, tidak ramai orang menggunakannya kerana terdapat perkataan lain yang menggantikannya seperti orang itu, si dia atau si anu (bagi sesetengah daerah). Amat janggal jika ada orang melayu yang tidak tahu tentang perkataan ini. Rasa-rasanya anak-anak muda zaman ini ramai yang tidak tahu tentangnya kerana ia jarang digunakan atau mereka tidak peka tentang perkataan bahasa sendiri. 

Dalam Bahasa Arab, semua nama yang berbentuk ini ada perkataan pengganti baginya. Seperti untuk bapa, fulan bin fulan. Untuk perempuan (fulanah). Malah terdapat satu perkataan lain iaitu 'allan علّان (dalam font ini lam alif sukar dibaca). Contohnya: fulan bin fulan bin allan.

Untuk mengantikan bentuk perbuatan biasanya kita kata: Dia melakukan 'seperti ini'. Dalam Bahasa Arab هكذا.

Untuk menggantikan perkara-perkara lain, orang Arab menggunakan perkataan كيت وكيت (keta wa keta) atau كذا وكذا. Ertinya demikian dan demikian.

Contohnya: Jangan kau beritahu kau lupa hafalan surah ini dan itu. كيت وكيت

Sesetengah orang kita menyebut 'begian begian' untuk menggantikan bahagian tertentu yang sengaja tidak mahu disebut jumlahnya.

Begitulah seterusnya untuk perkataan-perkataan gantian kepada perkataan lain.

Monday, May 16, 2011

Mudhaf Mudhaf Ilaih. Bhg 1

Tajuk topik ini sepatutnya Bab Idhafah. Tapi saya rasa ramai yang lebih mengenalinya dengan tajuk tadi, maka saya memilih suatu yang popular di kalangan mereka.

Secara mudah ianya adalah bab mengenai suatu kata nama yang disandarkan kepada kata nama yang lain. Maka kata nama pertama dan kedua mempunyai perubahan-perubahan ketara tertentu.

Saya tidak pasti apakah jenis tata bahasa seperti ini terdapat dalam tata bahasa Melayu atau tidak. Dan apakah istilah yang digunakan untuknya. (Saya akan menulis suatu topik tentang perkara tersebut insyAllah).

Pokoknya antara perubahan-perubahannya adalah:

  • Kata nama pertama akan menjadi tertentu apabila disandarkan kepada kata nama kedua yang tertentu.
  • Tidak perlu (ال) pada kata nama pertama yang tunggal. Contohnya الاسم المحاضر : nama pensyarah (salah) اسم المحاضر (betul).
  • Jika kata nama pertama adalah muthanna atau jamak muzakkar salim, maka dibuang nun pada akhirnya.

Contohnya:

مسلما مكة : dua orang Islam Mekah
مسلمو المدينة : Orang-orang Islam Madinah

Dalam kedua-dua contoh ini huruf nun asal iaitu مسلمان dan مسلمون telah dibuang kerana disandarkan kepada kota-kota tadi. Begitu juga untuk مسلمين, jadi مسلمي sahaja.
Contoh lain , perkataan سيارتي : kereta saya. ال dibuang.

  • Status kata nama kedua adalah SENTIASA Majrur. (Istilah yang akan diterangkan kemudian InsyaAllah).

Jantina dalam Bahasa Arab Bhg 1

Bagi yang sedia maklum, dalam Bahasa Arab, ganti nama dan tanda untuk jantina yang berbeza adalah berbeza. Bukan sahaja untuk kata tunggal atau ganti nama tunggal, malah kata jamak atau ganti nama jamak juga tertadapat perbezaan padanya.

Contoh 1:

الأستاذ (seorang ustaz)
الأستاذة (seorang ustazah)

مسلم (seorang lelaki Islam)
مسلمة (seorang perempuan Islam)

Keempat-empat contoh ini adalah contoh bagi kata nama tunggal. Dalam keempat-empat contoh tadi tanda yang membezakan antara jantina lelaki dan perempuan adalah terdapat (ة) untuk jantina perempuan.

Contoh 2:

مسلمون (oarng-orang Islam lelaki)
مسلمات (orang-orang Islam perempuan)

Kedua-dua contoh ini adalah contoh bagi kata nama jamak. Dalam kedua-dua contoh tadi tanda yang membezakan antara jantina lelaki dan perempuan adalah terdapat (ون) untuk jantina lelaki dan (ات) untuk jantina perempuan.

Contoh 3:

ذَهَبَ (dia seorang lelaki telah pergi)
ذَهَبَتْ (dia seorang perempuan telah pergi)

Kedua-dua contoh ini adalah contoh bagi kata kerja tunggal untuk perbuatan ganti nama pertama yang telah lalu (past tense). Dalam kedua-dua contoh tadi tanda yang membezakan antara jantina lelaki dan perempuan adalah terdapat  (ت) yang mati (sukun) untuk jantina perempuan dan tidak terdapat apa-apa tanda bagi jantina lelaki.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkara ini, sila rujuk buku-buku mempelajari Bahasa Arab.

Contoh 4:

يَذْهَبُ (dia seorang lelaki  sedang pergi)
تَذْهَبُ (dia seorang perempuan sedang pergi)

Kedua-dua contoh ini adalah contoh bagi kata kerja tunggal untuk perbuatan ganti nama pertama yang sedang berlaku (present tense). Dalam kedua-dua contoh tadi tanda yang membezakan antara jantina lelaki dan perempuan adalah terdapat  (ت) di depan untuk jantina perempuan dan terdapat (ي) bagi jantina lelaki.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkara ini, sila rujuk buku-buku mempelajari Bahasa Arab.

Pesanan:

Jadi untuk menjadikan Bahasa Arab anda bagus, kuasailah perkara-perkara ini.